Gambar-gambar akar pokok banyan "membungkus" candi purba Ta Prohm ini baru ku'upload' hari ini (12/6/09). Terima kasih pada temanku yang bersusah payah 'skan'kan untukku!
Dari 7 hingga 10 Jun 2004, aku telah melancong ke Cambodia. Aku ingat lagi, ketika itu MAS mengadakan penerbangan sulungnya ke Siem Reap, Cambodia dengan tawaran pakej istimewanya iaitu tiket pergi balik bersama dengan tempat penginapan serta kemudahan pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel. Apa lagi, aku dan gengku yang sebanyak tujuh orang itu pun lekas-lekas menempah tiket untuk ke bumi yang pernah dilanda pergolakan dan perang saudara itu. Tujuan kami ke sana adalah semata-mata untuk melihat salah satu benda ajaib di dunia yang terdapat di situ iaitu Angkor Wat.
Sebelum pesawat mendarat, tidak dapat kulihat sebuah pun bangunan pencakar langit, yang ada dalam pandangan hanyalah hutan, belukar, tasik, sungai, dan kelompok rumah papan yang bagaikan rumah setinggan. Lapangan terbangnya tidaklah sebesar KLIA, maklumlah negara miskin, yang baru terlepas daripada cengkaman pemerintahan kejam rejim Khmer Rouge.
Sebaik saja urusan ketibaan di kaunter imigresen selesai, kami melangkah keluar dari lapangan terbang. Cuaca panas menikam mata dan kulit kami. Kami disambut oleh seorang penyambut tetamu hotel yang siap memegang sekeping papan tanda. Papan tanda tersebut tertera nama-nama kami. Lantas kami pun dibawa ke hotel dengan sebuah van. Sejurus kemudian, kami pun didatangi oleh seorang pemandu pelancong yang berketurunan China, fasih berbahasa Mandrin dan Inggeris. Kami terus dibawa melawat Angkor Wat yang telah lama kami nanti-nantikan itu.
Sebelum itu, kami diwajibkan membeli pas lawatan selama tiga hari, seingat aku berharga USD40. (penggunaan mata wang dollar biasa di sini) Dengan pas ini, kami boleh melawat sekitar Angkor Wat, yang menjadi nadi utama dan candi-candi kecil lain yang bertaburan di sekitar Siem Reap. Antara candi yang aku ingat ialah Angkor Thom, candi Bayon dan Terrace of the Elephants. Yang menarik sekali ialah akar-akar tua pokok banyan menjalar dari perut bumi hingga hampir "membungkus" candi purba Ta Prohm.
Sayang sekali, kali ini aku tidak dapat memaparkan gambar-gambar yang menarik disebabkan pada masa itu aku belum memiliki kamera digital lagi. Semua gambar yang ada ini merupakan hasil rakaman salah seorang rakan aku. Kebanyakan gambar yang diambilnya memampangkan muka-muka kami sebagai watak utamanya! Gambar pemandangan pula tidak seberapa. Manakala semua gambar yang aku ambil dengan kamera antikku pula telah diproses menjadi kepingan dan diselitkan ke dalam album foto.
Rata-rata rakyat di negara ini masih hidup dalam kemiskinan. Walaupun tanah subur terbentang luas, namun mereka tiada modal untuk mengusahakannya. Menurut kata kawanku, keadaan Cambodia ini laksana negara Malaysia pada era 60-an atau 70-an dahulu. Kalian boleh bayangkan situasi negara kita pada masa itu dengan menonton filem-filem klasik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee! Walau bagaimanapun, rakyat Cambodia bertuah dan bersyukur kerana adanya Angkor Wat..satu-satunya harta pusaka peninggalan nenek moyang mereka yang menjadi tapak warisan dunia dan menjadi salah satu Tujuh Benda Ajaib yang terkenal seantero dunia ini. Tanpa Angkor Wat, masyarakat dunia sudah pasti tidak akan menjejakkan kaki ke bumi Cambodia ini...apatah lagi masih terdapat periuk api yang tertanam di hutan belukarnya.
Sudah empat tahun berlalu dan kini tirai 2008 pun hampir berlabuh, entah bagaimanakah agaknya dengan keadaan Cambodia sekarang ya....??!!
Angkor Wat
Kawasan tepian dan belakang Angkor Wat
Tempat pemujaan yang paling tinggi .... anak-anak tangga securam 90 darjah....Sungguh mengecutkan perut!
Candi Bayon
(terdiri daripada 54 buah menara yg berukiran empat sudut wajah Avalokiteshvara)
Candi Banteay Srei
Perkampungan nelayan di Sungai Tonle Sap