Monday, December 29, 2008

Lawatanku ke Ipoh dan Taiping

Atas permintaan teman chatku dari Indonesia yang ingin mengetahui ceritaku sepanjang lawatanku ke Ipoh dan Taiping pada 13 Disember yang lalu, justeru kumakbulkanlah permintaannya itu hari ini.

Pada 13 Disember, aku ke Ipoh dengan menaiki bas ekspres S.E. di hentian bas Melaka Sentral. Bas bertolak pada pukul 9.30 pagi. Aku sepatutnya tiba di Ipoh lebih kurang pada pukul 2.30 petang. Malangnya, perjalanan aku telah memakan masa selama tujuh jam! Aku bersumpah tidak akan menaiki bas ekspres ini lagi pada masa akan datang! Bas ekspres ini telah singgah di Seremban dan Klang untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

Yang paling menggeramkan ialah kami disuruh berpindah ke bas yang lain semasa di Klang. Apa yang menaikkan darahku lagi ialah kedua-dua orang pemandunya asyik merokok di sepanjang perjalanan, sesak nafasku dibuatnya! Setibanya aku di Ipoh, aku disambut oleh rakanku yang telah lama menunggu. Aku dibawa pulang ke rumahnya di Gunung Rapat. Hidangan mi karinya licin kubedal akibat kelaparan! Pada sebelah malamnya pula, kami pergi melawat seorang sahabat lama yang akan berpindah ke Sungai Petani pada keesokan harinya. Maka bersembanglah kami berjam-jam lamanya di sana.
Pada awal pagi Ahad pula, kami pergi ke Taiping dengan menaiki bas. Perjalanan mengambil masa sejam sahaja. Di Taiping, kami dibawa berjalan-jalan dan makan-makan oleh seorang kenalan lama di sana. Selain bergambar di Tasik Taiping dan kaki bukit Bukit Larut, kami dibawa 'melawat' ke kem tahanan ISA di Kemunting. Hujan lebat ketika itu,  aku hanya dapat merakamkan gambar pintu gerbangnya dari dalam kereta sahaja. Kami pulang ke Ipoh pada petang itu juga.
Sepanjang berada di Ipoh, aku betul-betul dapat merehatkan hati dan minda! Aku pulang ke Melaka pada 20 Disember. Kepulanganku ini 'diiringi' oleh dua orang teman dari Ipoh. Maka terpaksalah aku melayan mereka selama tiga hari selaku tuan rumah pula. Aku telah membawa mereka melawat ke Perigi Hang Tuah, A Famosa, Bangunan Stadhuys, Bukit/Gereja St. Paul, Perkampungan Portuguese dan Jonker Street. Tidak lupa juga aku membelanja mereka makan juadah popular Melaka seperti laksa nyonya, nasi ayam bebola, ayam tanduri, sate celup, ikan bakar, cendol dan sebagainya. Mereka sungguh berpuas hati dengan layanan yang kuberikan itu.
Untuk memenuhi permintaan rakan di Indonesia itu, aku lampirkan gambar-gambar yang berkaitan di bawah ini. (hmmm..sebenarnya inilah yang diidam-idamkannya, bukan cerita aku..kakaka!!)

Pokok Krismas di Perkampungan Portugis

Pintu Gerbang di Portuguese Settlement (Perkampungan Portugis)
Roti Nan...dipanggang di dalam tempayan besar
Ayam panggang tanduri...sajian popular masyarakat India Utara
Emmm...enaknya! Restorannya terletak di Kota Laksamana

Perigi Lapan Penjuru di Tehel
Perigi Hang Tuah...banyaknya pelancong hari tu...tertangkap pulak gambar amoi cun !
Pokok Buah Naga di tepi Perigi Hang Tuah
Rumah Melayu Tradisional di sebelah Perigi Hang Tuah
Bukit/Gereja St. Paul
Pemain Ular di Rumah Merah (Stadhuys)
Sungai Melaka...bersih dan indah
Stesen Kereta Api Ipoh

Kem Tahanan ISA Kemunting, Taiping
Tasik Taiping




Tuesday, December 9, 2008

Angkor Wat....akhirnya dapatku sentuh dan pegang!

Gambar-gambar akar pokok banyan  "membungkus" candi purba Ta Prohm ini baru ku'upload' hari ini (12/6/09). Terima kasih pada temanku yang bersusah payah 'skan'kan untukku!




Dari 7 hingga 10 Jun 2004,  aku telah melancong ke Cambodia. Aku ingat lagi, ketika itu MAS mengadakan penerbangan sulungnya ke Siem Reap, Cambodia dengan tawaran pakej istimewanya iaitu tiket pergi balik bersama dengan tempat  penginapan serta kemudahan pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel.  Apa lagi, aku dan gengku yang sebanyak tujuh orang itu pun  lekas-lekas menempah tiket untuk ke bumi yang pernah dilanda pergolakan dan perang saudara itu. Tujuan kami ke sana adalah semata-mata  untuk melihat salah satu benda ajaib di dunia yang terdapat di situ iaitu Angkor Wat.

Sebelum pesawat mendarat, tidak dapat kulihat sebuah pun bangunan pencakar langit, yang ada dalam pandangan hanyalah hutan, belukar, tasik, sungai, dan kelompok rumah papan yang bagaikan rumah setinggan. Lapangan terbangnya tidaklah sebesar KLIA, maklumlah negara miskin, yang baru terlepas daripada cengkaman pemerintahan kejam rejim Khmer Rouge.

Sebaik saja urusan ketibaan di kaunter imigresen selesai, kami melangkah keluar dari lapangan terbang. Cuaca panas menikam mata dan kulit kami.  Kami disambut oleh seorang penyambut tetamu hotel yang siap memegang sekeping papan tanda.  Papan tanda tersebut tertera nama-nama kami. Lantas kami pun dibawa ke hotel dengan sebuah van.  Sejurus kemudian, kami pun didatangi oleh seorang pemandu pelancong yang berketurunan China, fasih berbahasa Mandrin dan Inggeris.  Kami terus dibawa  melawat Angkor Wat yang telah lama kami nanti-nantikan itu.

Sebelum itu, kami diwajibkan membeli pas lawatan selama tiga hari, seingat aku berharga USD40.  (penggunaan mata wang dollar biasa di sini) Dengan pas ini, kami boleh melawat sekitar Angkor Wat, yang menjadi nadi utama dan candi-candi kecil lain yang bertaburan di sekitar Siem Reap. Antara candi yang aku ingat ialah Angkor Thom, candi Bayon dan Terrace of the Elephants. Yang menarik sekali ialah akar-akar tua pokok banyan menjalar dari perut bumi hingga hampir "membungkus" candi purba Ta Prohm.

Sayang sekali, kali ini aku tidak dapat memaparkan gambar-gambar yang menarik disebabkan pada masa itu aku belum memiliki kamera digital lagi. Semua gambar yang ada ini merupakan hasil rakaman salah seorang rakan aku. Kebanyakan gambar yang diambilnya memampangkan muka-muka kami sebagai watak utamanya! Gambar pemandangan pula tidak seberapa. Manakala semua gambar yang aku ambil dengan kamera antikku pula telah diproses menjadi kepingan dan diselitkan ke dalam album foto.  

Rata-rata rakyat di negara ini masih hidup dalam kemiskinan. Walaupun tanah subur terbentang luas, namun mereka tiada modal untuk mengusahakannya.  Menurut kata kawanku,  keadaan Cambodia ini  laksana negara Malaysia pada era 60-an atau 70-an dahulu.  Kalian boleh bayangkan situasi negara kita pada masa itu dengan menonton filem-filem klasik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee! Walau bagaimanapun, rakyat Cambodia bertuah dan bersyukur kerana adanya Angkor Wat..satu-satunya harta pusaka peninggalan nenek moyang mereka yang menjadi tapak warisan dunia dan menjadi salah satu Tujuh Benda Ajaib yang terkenal seantero dunia ini. Tanpa Angkor Wat, masyarakat dunia sudah pasti tidak akan menjejakkan kaki ke bumi Cambodia ini...apatah lagi masih terdapat periuk api yang tertanam di hutan belukarnya.  

Sudah empat tahun berlalu dan kini tirai 2008 pun hampir berlabuh,  entah bagaimanakah agaknya dengan keadaan Cambodia sekarang ya....??!!

Angkor Wat


Kawasan tepian dan belakang  Angkor Wat


Tempat pemujaan yang paling tinggi .... anak-anak tangga securam 90 darjah....Sungguh mengecutkan perut!


Candi Bayon

(terdiri daripada 54 buah menara yg berukiran empat sudut wajah Avalokiteshvara)



Candi Banteay Srei








Perkampungan nelayan di Sungai Tonle Sap

Tuesday, December 2, 2008

Menjelajah Semenanjung dengan Atos Baruku

Tanggal 24  September 2004, kujual  kereta Kancilku yang telah setia bersamaku selama lapan tahun itu dan kubeli pula  kereta Atos bergear automatik.   Pada pertengahan bulan November tahun yang sama, kawanku mengajakku menjelajah Semenanjung Malaysia dengan pacuan Atosku itu. Kawanku bertugas sebagai pemandu dan penentu arah penjelajahan kami. Peta laluan dibawa bersamanya. Perjalanan dimulakan dari bandar kelahiranku, Melaka. Kami menuju ke bandar maharani, Muar. Kemudian terus ke Pontian,Tanjung Piai dan Kota Tinggi sebelum menuju ke pantai timur.

Empat roda Atosku terus memecut hingga sampai di ibu negeri Pahang Darul Makmur,iaitu Kuantan. Dari Kuantan, kami menyusur jalan kampung yang bengkang-bengkok bagai ular kena palu ke negeri Cik Siti Wan Kembang. Setiap destinasi yang kami singgah adalah tidak lebih daripada dua hari. Selanjutnya, kami menuju ke utara ke negeri Jelapang Padi Malaysia. Perjalanan yang sukar agak berbaloi juga apabila panaroma di sepanjang perjalanan memukau mata.  Kami singgah sebentar di Empangan Temenggor.

Selepas meredah jalan yang berliku-liku, akhirnya, kelihatan Gunung Jerai yang tersergam indah itu menggamit kedatangan kami. Kami singgah di Lembah Bujang dalam perjalanan ke Pulau Pinang.  Kami mengelilingi pulau mutiara itu dalam masa sehari.  Selepas itu, kami ke Perak, merentasi bandar Taiping dan singgah bermalam di bandar Ipoh. Di Taiping, kami sempat mendaki Bukit Larut yang terletak berhampiran dengan Tasik Taiping bersama dengan seorang kenalan lama di sana.

Di Ipoh pula, kami menumpang di rumah kawan. Destinasi yang tidak dirancang, Cameron Highlands telah kami jejaki bersama dua orang kawan dari Ipoh. Kami mengambil jalan dari Simpang Pulai yang lebih luas dan cerunnya agak landai.  Kami bernasib baik kerana  diperkenalkan kepada para petani di sana oleh salah seorang kawan dari Ipoh tadi. Kami masuk ke setiap pelosok kebun sayur, kebun bunga dan kebun strawberry di puncak Cameron Highlands. Kami balik ke Ipoh pada hari yang sama.

Perjalanan diteruskan ke Batu Gajah, singgah sebentar untuk merakamkan gambar keunikan Kellie's Castle. Teluk Intan merupakan destinasi terakhir kami di negeri  Perak Darul Ridzuan. Kami terus memecut ke negeri Selangor, kami  singgah sebentar di Bukit Melawati  sebelum bermalam di rumah seorang rakan di Klang.  Kami sempat berkunjung ke Pulau Ketam walaupun tidak dapat makan ketam atas sebab-sebab tertentu.  Dari sana, kami mengakhiri penjelajahan kami ke pantai Morib, Port Dickson dan terus langung ke Melaka.

Kami mengambil masa kira-kira 12 hari dalam penjelajahan ini walaupun tidak semua destinasi di Semenanjung kami singgah atau kunjungi.  Kasihan pada kawanku yang menjadi pemandu dan pengatur masa penjelajahan ini.  Lain kali, akan kubeli kenderaan Pacuan Empat Roda pula, supaya dapat kujelajahi serata Thailand hingga sampai di  Selatan China...(tapi Myviku baru berusia tiga bulan, mana ada duit dah...haahaa.....)

Menara Condong di Teluk Intan


Kellie's Castle



Cameron Highlands



Tasik Taiping


Tapak Arkeologi Lembah Bujang






Gunung Jerai


Empangan Temenggor




Air Terjun Kota Tinggi