Tuesday, December 2, 2008

Menjelajah Semenanjung dengan Atos Baruku

Tanggal 24  September 2004, kujual  kereta Kancilku yang telah setia bersamaku selama lapan tahun itu dan kubeli pula  kereta Atos bergear automatik.   Pada pertengahan bulan November tahun yang sama, kawanku mengajakku menjelajah Semenanjung Malaysia dengan pacuan Atosku itu. Kawanku bertugas sebagai pemandu dan penentu arah penjelajahan kami. Peta laluan dibawa bersamanya. Perjalanan dimulakan dari bandar kelahiranku, Melaka. Kami menuju ke bandar maharani, Muar. Kemudian terus ke Pontian,Tanjung Piai dan Kota Tinggi sebelum menuju ke pantai timur.

Empat roda Atosku terus memecut hingga sampai di ibu negeri Pahang Darul Makmur,iaitu Kuantan. Dari Kuantan, kami menyusur jalan kampung yang bengkang-bengkok bagai ular kena palu ke negeri Cik Siti Wan Kembang. Setiap destinasi yang kami singgah adalah tidak lebih daripada dua hari. Selanjutnya, kami menuju ke utara ke negeri Jelapang Padi Malaysia. Perjalanan yang sukar agak berbaloi juga apabila panaroma di sepanjang perjalanan memukau mata.  Kami singgah sebentar di Empangan Temenggor.

Selepas meredah jalan yang berliku-liku, akhirnya, kelihatan Gunung Jerai yang tersergam indah itu menggamit kedatangan kami. Kami singgah di Lembah Bujang dalam perjalanan ke Pulau Pinang.  Kami mengelilingi pulau mutiara itu dalam masa sehari.  Selepas itu, kami ke Perak, merentasi bandar Taiping dan singgah bermalam di bandar Ipoh. Di Taiping, kami sempat mendaki Bukit Larut yang terletak berhampiran dengan Tasik Taiping bersama dengan seorang kenalan lama di sana.

Di Ipoh pula, kami menumpang di rumah kawan. Destinasi yang tidak dirancang, Cameron Highlands telah kami jejaki bersama dua orang kawan dari Ipoh. Kami mengambil jalan dari Simpang Pulai yang lebih luas dan cerunnya agak landai.  Kami bernasib baik kerana  diperkenalkan kepada para petani di sana oleh salah seorang kawan dari Ipoh tadi. Kami masuk ke setiap pelosok kebun sayur, kebun bunga dan kebun strawberry di puncak Cameron Highlands. Kami balik ke Ipoh pada hari yang sama.

Perjalanan diteruskan ke Batu Gajah, singgah sebentar untuk merakamkan gambar keunikan Kellie's Castle. Teluk Intan merupakan destinasi terakhir kami di negeri  Perak Darul Ridzuan. Kami terus memecut ke negeri Selangor, kami  singgah sebentar di Bukit Melawati  sebelum bermalam di rumah seorang rakan di Klang.  Kami sempat berkunjung ke Pulau Ketam walaupun tidak dapat makan ketam atas sebab-sebab tertentu.  Dari sana, kami mengakhiri penjelajahan kami ke pantai Morib, Port Dickson dan terus langung ke Melaka.

Kami mengambil masa kira-kira 12 hari dalam penjelajahan ini walaupun tidak semua destinasi di Semenanjung kami singgah atau kunjungi.  Kasihan pada kawanku yang menjadi pemandu dan pengatur masa penjelajahan ini.  Lain kali, akan kubeli kenderaan Pacuan Empat Roda pula, supaya dapat kujelajahi serata Thailand hingga sampai di  Selatan China...(tapi Myviku baru berusia tiga bulan, mana ada duit dah...haahaa.....)

Menara Condong di Teluk Intan


Kellie's Castle



Cameron Highlands



Tasik Taiping


Tapak Arkeologi Lembah Bujang






Gunung Jerai


Empangan Temenggor




Air Terjun Kota Tinggi


      




No comments: